Thursday 2 August 2012

SIAPAKAH PEMIMPIN????

KEPERIBADIAN UNGGUL SEORANG PEMIMPIN

    Apabila bercerita tentang personaliti unggul, sudah pasti di fikiran seorang Islam yang beriman akan terlintas nama yang tidak asing lagi bagi kita semua iaitu Rasulullah SAW. Keunggulan Rasulullah SAW yang tiada bandingannya telah meletakkan Baginda sebagai tokoh teladan sepanjang zaman.

      Nabi Muhammad SAW sentiasa menyeru umat Islam supaya bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Banyak hadis-hadis baginda yang menekankan kepentingan menuntut ilmu. Hadis-hadis tersebut telah menjadi panduan dan rujukan umat Islam untuk menuntut ilmu dan seterusnya memajukan diri mereka. Hal ini menjadi lebih bereti apabila baginda sendiri diutuskan oleh Allah untuk membimbing umat manusia ke jalan yang benar.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah tidak mengutuskanku sebagai orang yang menyusahkan dan merendahkan orang lain. Tetapi Allah mengutuskanku sebagai seorang guru (pendidik) dan pemberi kemudahan.” – (Hadis riwayat Imam Muslim).
                              
                                             
                           
     Apabila seseorang itu berjaya memimpin, ini bermakna dia berjaya mempengaruhi anggota-anggota yang lain di dalam organisasi itu. Mengikut Dr Robiah Sidin (1988), dalam bukunya ‘Asas Pentadbiran Pendidikan’, beliau menegaskan bahawa secara umumnya ada dua jenis kuasa yang boleh dipegang oleh seseorang pemimpin itu. Pertama, kuasa yang datang dengan jawatannya di dalam organisasi itu dan kedua, kuasa yang berpunca daripada keadaan dirinya sendiri atau kuasa individu. Kuasa yang bersangkut paut dengan jawatan adalah penting kerana memberi kepercayaan kepada anggota-anggotanya.

   Walaubagaimanapun untuk seseorang itu kekal menjadi pemimpin dia mesti juga mempunyai kuasa yang berunsurkan kebolehan tersendirinya. Antara nilai-nilai cemerlang seorang pemimpin Islam adalah:
1.     
M   Mentaliti
    Kebijaksanaan atau kebolehan membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak
dengan menilai antara yang baik dan buruk berdasarkan pertimbangan ilmu dan pengalaman. Keberanian atau kesungguhan serta kesanggupan menghadapi cabaran dan masalah serta risiko, baik yang berpunca dari luar diri atau dalam diri sendiri.

2.      Berpegang kepada kebenaran
 Rasulullah SAW menyarankan umatnya supaya bersifat terbuka dan berminda kritis dan kritikal. Baginda tidak menggalakkan umatnya untuk mengambil kesempatan atas kejahilan orang-orang yang tidak memusuhi Islam. Orang-orang yang terpengaruh dengan ajaran yang tidak benar akan terus berkekalan keyakinannya dan akhirnya menjadi pengikut yang tidak boleh diharapkan.

                                       
3.      Sedia menerima teguran
    Seorang pemimpin akan memohon untuk dikritik dan ditegur. Mereka tidak selalunya hanya memberi tetapi pemimpin yang baik adalah seorang yang senantiasa terbuka untuk menerima sebarang teguran sama ada dari pihak atasan mahupun dari pengikutnya sendiri. Mereka juga akan selalu mengingatkan tentang ketaatan kepada Allah dan bukan ketaatan buta kepada pemimpin. Seorang Pemimpin yang baik tahu dan mahu berbincang dengan orang bawahannya mengenai sesuatu hal yang dia sendiri tidak pasti. Dia tidak hanya pandai mengeluarkan arahan saja.

4.      Muhasabah diri
   Pemimpin yang cemerlang juga akan sentiasa muhasabah diri sebelum menyalahkan orang lain. Perkara ini perlu dilakukan oleh setiap umat Islam. Kita perlu sentiasa mengakui kelemahan diri kerana setiap manusia dilahirkan tidak sempurna tetapi kita juga perlu berusaha untuk menyempurnakan diri kita.
               

                                  

5.      Amanah dalam pengurusan
 Pemimpin Islam hendaklah sentiasa berpegang kepada tunjang ajaran Islam dalam melakukan segala tindakan dan menjadikan kuasa yang diperolehi bukanlah sebagai batu loncatan untuk memudahkan diri mendapatkan harta yang banyak. Malah pemimpin Islam seharusnya bijak membahagikan harta awam demi kepentingan umat.
                         

6.      Bijak dan tegas
   Seorang pemimpin yang berjaya hendaklah bijak dan tegas dalam membuat pilihan. Pemimpin Islam dipilih berdasarkan keperibadian dan kebijaksanaan yang tinggi dan bukan pada kekayaan semata-mata. Mereka juga perlu memastikan tanggungjawab tidak ditinggalkan tanpa perancangan kerana kebenaran tanpa perancangan akan ditindas oleh kebatilan yang dirancang.

Kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status jawatan yang disandang hanya satu daripada punca potensi kepimpinan. Kejayaan kepimpinan adalah fungsi kedua-dua kuasa formal melalui jawatan dan penerimaan orang-orang bawahan secara tidak formal yang bukan kerana jawatan. “Jika sebuah perkara telah diberikan kepada orang yang tidak semestinya (bukan ahlinya), maka tunggulah kiamat/kehancurannya".
## jaga diri, jaga iman, jaga hati, jaga amal ##

BY: EXCO PERHUBUNGAN AWAM & KORPORAT


No comments:

Post a Comment